Followers

Tuesday, April 12, 2011

Prosedur Permohonan


Prosedur Permohonan

Pemohon yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal dikategorikan seperti berikut:
  • pengeluar/ pengilang produk (manufacturer/ producer);
  • pengedar/penjual (distributor/ trader);
  • pengeluar sub-kontrak (sub-contract manufacturer);
  • pembungkusan semula (repacking);
  • premis makanan (food premise); dan
  • rumah sembelih (abattoir/slaughter house).

Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa
hendaklah memohon secara terus kepada Hab Halal, JAKIM melalui permohonan secara online.

Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat pasaran tempatan,
permohonan hendaklah dipohon terus kepada 
JAIN/MAIN mana yang berkenaan.
Pemohonan akan ditolak bagi perkara-perkara berikut:
  1. Syarikat yang mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal;
  2. Produk yang tidak halal;
  3. Bahan semulajadi yang tidak melibatkan sebarang pemerosesan;
  4. Ubat-ubatan atau produk yanng dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysai ;
  5. Pewarna rambut (hair color / hair dye);
  6. Produk siap diproses (finish processed product) yang dikeluarkan di luar negara;
  7. Produk yang menggunakan nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan seperti bak kut teh dan sebagainya;
  8. Baja dan makanan binatang;
Pemohon perlu mengisi borang yang bersesuaian :
  • Produk / Barangan Gunaan
  • Premis Makanan
  • Rumah Sembelih
Borang permohonan hendaklah lengkap diisi secara online dengan mengemukakan butiran-butiran seperti yang dikehendaki di dalam borang dan menyertakan sijil-sijil yang berkaitan, seperti berikut:
  • Profil syarikat;
  • Pendaftaran syarikat/perniagaan;
  • Nama dan keterangan produk / menu untuk disahkan;
  • Bahan ramuan yang digunakan;
  • Nama dan alamat pengeluar / pembekal ramuan;
  • Status halal bahan ramuan beserta sijil halal atau spesifikasi produk bagi bahan ramuan kritikal (jika berkaitan);
  • Jenis bahan pembungkusan;
  • Proses dan prosedur pengeluaran;
  • Lain-lain dokumen seperti HACCP, ISO, GHP, GMP, TQM dan sebagainya (Jika ada); dan
  • Peta lokasi premis / kilang.
Pemohon hendaklah menyediakan fail khas "Sijil Pengesahan Halal" untuk menyimpan dokumen-dokumen berkaitan dan boleh dirujuk apabila pemeriksaan dijalankan ke atas premis tersebut.

Takrifan Halal


Takrifan Halal

Takrifan

Bagi tujuan prosedur ini, takrifan berikut adalah digunapakai:

Pihak Berkuasa Yang Diiktiraf      
Pihak berkuasa yang diiktiraf bermaksud pihak berkuasa JAKIM, JAIN atau MAIN mana satu yang berkenaan.

Hukum Syarak
Hukum Syarak bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafi’e atau undang-undang dalam mana suatu Mazhab Maliki,
Hambali atau Hanafi yang telah bersetuju oleh Yang di-Pertuan Agong dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau
oleh Raja bagi mana-mana negeri dikuatkuasakan dalam negeri itu.

Halal
Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak.
Takrif Halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan:
a)bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh   Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
b)tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak;
c)tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut   Hukum Syarak; dan
d)tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang   tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum  Syarak.

Produk Makanan dan Minuman
Produk makanan dan minuman bermaksud barang-barang yang dibuat atau dihasilkan atau hasil atau penghasilan
atau pengeluaran yang melibatkan makanan dan minuman.

Barangan Gunaan
Barangan Gunaan bermaksud barang-barang bukan makanan dan minuman, seperti kosmetik, pakaian dan peralatan.

Premis Makanan
Premis Makanan bermaksud bangunan dan kawasan tempat diuruskan perniagaan makanan dan minuman termasuk restoran, medan selera, dapur komersial, kafetaria, kedai kek dan pastri, restoran makanan segera, kantin, restoran, kelab/hotel, kiosk, katerer dan lain-lain.

Rumah Sembelih
Rumah sembelih bermaksud tempat atau premis untuk menyembelih dan/atau memproses binatang .

Logo Halal
Logo halal bermaksud logo yang dikeluarkan oleh JAKIM/ JAIN/ MAIN dan mengandungi:

Logo Halal Malaysia:
a) bintang berbucu lapan di tengah-tengah bulatan;
b) perkataan Arab – “حلآل” di tengah bintang;
c) diikuti tulisan rumi “HALAL”;
d) bulatan logo tertulis perkataan “Malaysia” dalam tulisan Rumi dan ماليزيا   dalam perkataan Arab;
e) dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab tersebut.

PASTIKAN PRODUK GELATIN ADA HALAL


PASTIKAN PRODUK GELATIN ADA HALAL
Pengguna Islam perlu peka dan berhati-hati apabila menggunakan produk berasaskan gelatin di pasaran dengan memastikan ianya memperolehi sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir bin Hj Baharom berkata, JAKIM hanya mengeluarkan sijil itu bagi produk yang seratus peratus menggunakan bahan atau sumber halal serta bebas daripada kandungan DNA babi.
Antara kategori pensijilan halal yang dikeluarkan JAKIM  ialah makanan, premis makanan, suplemen kesihatan, ubat tradisional, produk kosmetik dan produk-produk kegunaan harian yang lain. Beliau berkata, produk farmaseutikal dan ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi doktor tidak termasuk dalam kategori disenaraikan untuk pengeluaran sijil itu.Di samping itu, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara sentiasa memantau jualan semua produk suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional bagi memastikan ia bebas daripada kandungan DNA babi serta memperolehi sijil Halal.
Untuk pengetahuan semua, JAKIM hanya menamakan syarikat yang mendapat sijil halal dan tidak akan mendedahkan produk tidak halal. Sekiranya pengguna Islam berasa was-was, mereka boleh merujuk kepada JAKIM atau Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan atau melayari laman webwww.halal.gov.my