Secret Recipe Malaysia
KEHEBATAN kek Secret Recipe memang tidak dapat dinafikan lagi. Kelazatan rasa keju yang mewah dan lazat mampu membuatkan sesiapa sahaja ‘jatuh cinta’ dengan kesedapan kek ini. Justeru tidak hairanlah mengapa kanak-kanak hinggalah ke warga emas, tidak mengira bangsa, agama dan keturunan, semuanya amat menggemari rasa kek Secret Recipe.
Tahukah anda Secret Recipe akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini? Bersempena itu pada September ini, mereka akan melancarkan promosi The Tea Time Set at RM10++. Ia boleh dinikmati di mana-mana cawangan Secret Recipe terpilih.
Pengurus Pemasaran Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn. Bhd., Jamie Fong, berkata, idea asal penubuhan konsep kek dan kafe ini adalah dari pengasas Datuk Steven Sim dan empat orang anak saudaranya.
‘’Sejarah Secret Recipe bermula sejak 10 tahun dahulu di mana kedai pertama dibuka di SS2, Petaling Jaya. Kebetulan Datuk Steven mempunyai bakat dalam hiasan dalaman membentuk satu konsep kafe kek yang mesra pelanggan.
“Manakala, empat anak saudara lelakinya mempunyai bakat dan berpengetahuan dalam bidang pembuatan kek dan roti, gabungan inilah yang menjadikan Secret Recipe bertapak kukuh sehingga ke hari ini,” ujarnya ketika ditemui di Secret Recipe, Casa Tropicana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jamie menambah, Secret Recipe juga baru-baru ini telah memperkenalkan kek kesihatan khusus untuk mereka yang menitikberatkan penjagaan kesihatan tubuh badan. Katanya, budaya rakyat Malaysia sibuk dan pantas mengejar masa, amat sesuai dengan konsep dan menu yang ditawarkan Secret Recipe.
‘’Setakat ini kami berjaya menghasilkan kek kesihatan iaitu kek coklat lembap tanpa gula, kek keju berfiber tinggi dan kek krim pic tanpa lemak,” tambah Jamie lagi.
Selain itu, kek di Secret Recipe juga mempunyai reka bentuk yang ringkas khusus untuk mengekalkan kualiti kek yang dihasilkan atas jenama itu.
‘’Bagi kami yang penting ialah rasa, kek yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti dan terpilih, malah sesetengah bahan seperti kacang dan coklat ada yang diimport dari luar negara, jadi semua orang berpeluang menikmati kelazatan kek berkualiti tinggi dengan harga yang amat berbaloi,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment